Menuntut Ilmu
Dalam
Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk
berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi
memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah (betul dan elok)
orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah
keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang
(yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam
agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila
orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga
(dari melakukan larangan Allah)." [At Taubah 9 : 122]
Dan
dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya Allah SWT ingin
memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan memberikannya kefahaman dalam
agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada
kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah
SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam
agama" [HR Bukhari dan Muslim]
Adab Menuntut Ilmu
01.Niat yang ikhlas
Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana
selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu (sebaliknya) selain
daripada Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR
Tarmizi]
Niat
itu sendiri memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan
kita akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya
kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang terdetik dalam
hati tiap-tiap manusia.
02.Beradab dengan orang yang memberi ilmu
Imam Syafie pernah bekata:
"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya
oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada
bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan
tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Kitab Majmuk, Syarah
Mazhab, jilid 1, m/s 31]
Pada
pendapat saya dalam hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang
panjang. Namun secara ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini
haruslah disesuaikan mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya
sehinggakan mengakui kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita
terlalu memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada
kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya
seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa
dengan pensyarah.
03.Bersabar dalam menuntut ilmu
Imam Syafie pernah berkata:
"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan
bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin
Ya'cob, m/s: 237
04. Tulis setiap yang dipelajari
Sahabat Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?
Abu
Hurairah berkata:
"Tidak ada seorangpun daripada
sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah
bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak
menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]
05.Rendah diri
Imam Ahmad bin Hambal berkata:
"Kami diperintahkan supaya tawadhu'
(rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab
Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s 274]
06.Menjahui dari kenyang yang berlebihan
Ibn Jama'ah berkata:
"Sebesar-besar perkara yang menolong
seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan
sekadarnya daripada makan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab
Talabihi, m/s 222]
07.Tidur yang sedikit
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang
bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil
apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di
dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di
waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)."
[Az Zariyat 51 : 15 – 18]
08.Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah
dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun
diam." [HR Bukhari dan Muslim]
PENUTUP:
Tiada
adab yang lebih sempurna melainkan kita mengikuti adab Rasulullah SAW dan adab
mereka yang segenarasi dengan Rasulullah SAW (sahabat), generasi setelahnya
(tabi'in) kemudian setelahnya (tabi' tabi'in).
Saya
menasihati para pembaca sekalian agar dalam usaha kita untuk menuntut ilmu
agama, seharusnya memperbanyakkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Namun
adab-adab tersebut seharusnya jangan terlalu 'fanatik' sehinggakan memperbetulkan
apa yang salah dari mereka yang kita hormati. Manakah yang kalian lebih cintai
sama ada pemberi ilmu atau kebenaran? Dan kebenaran itu juga seharusnya dengan
ilmu.
Hanya
ilmu yang layak untuk menjadi pegangan kita sebagai ummat akhir zaman ialah al
Quran, as Sunnah dan sunnah Khulafa' al Rasyidin seperti sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:
"Sesungguhnya barangsiapa di antara
kalian yang hidup sepeninggalanku nanti, maka ia akan melihat perselisihan yang
banyak. Oleh kerana itu wajib bagi kalian untuk berpegang teguh dengan sunnahku
dan sunnah al Khulafa al Rasyidin yang terbina dan terbimbing. Berpeganglah
erat-erat denganya dan gigitlah ia dengan gigi gerham." [HR Abu Daud, at
Tarmidzi dan lain-lain]
Tinta
saya hanyalah dari ilmu yang sedikit namun kerana kesedaran betapa pentingnya
adab dalam menuntut ilmu maka saya kongsikan apa yang terbaik dari ilmu yang
sedikit ini. Saya memohon dari para 'alim dari segala ilmu untuk menegur jika
terdapat salah dan silap dari apa yang saya kongsikan ini. Sungguh tiada yang
lebih benar melainkan dari al Quran dan as Sunnah Rasulullah SAW.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar